03/07/2024

PROJEK JALAN PENGHUBUNG JALAN BUKIT PANCHOR MENDAHULUI JADUAL DAN BAKAL MEMBERI LALUAN ALTERNATIF LEBIH SELAMAT

PROJEK JALAN PENGHUBUNG JALAN BUKIT PANCHOR MENDAHULUI JADUAL DAN BAKAL MEMBERI LALUAN ALTERNATIF LEBIH SELAMAT

by Diadaptasi dari maklumat Kementerian Kerja Raya Malaysia

SEBERANG PERAI, PULAU PINANG - YB Datuk Seri Ahmad Bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah turun padang meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Jalan yang menghubungkan Jalan Bukit Panchor ke Laluan Persekutuan FT1, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

  1. Projek jalan ini menghubungkan Kawasan Perindustrian Bukit Panchor, Nibong Tebal dengan Jalan Negeri P146 – Jalan Bukit Panchor. Tarikh milik tapak adalah pada 30 Mac 2022 dan projek ini sekarang berada di tahap 74.65% kemajuan fizikal iaitu mendahului jadual sebanyak 45 hari dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2025. Kos kontrak asal projek ini adalah sebanyak RM11.26 juta.

  2. Buat masa sekarang, kenderaan perindustrian/berat menggunakan laluan taman perumahan dan Kampung Ladang Kerian bagi urusan perdagangan. Perkara ini menimbulkan kerisauan dari aspek keselamatan penduduk sekitar taman perumahan dan Kampung Ladang Kerian kerana laluan sedia ada yang sempit.

  3. Melalui pembinaan jalan ini, ia dapat menampung jumlah kenderaan sehingga 1000 kenderaan sehari. Kriteria rekabentuk jalan ini mengikut rekabentuk piawai jalan R2 dengan halaju 60 km/j dengan lebar jalan 6 meter single carriage way.

  4. Selain itu, pembinaan jalan ini juga dapat menghubungkan penduduk dari kawasan Sungai Kechil , Sungai Bakap, Taman Ilmu dan Universiti Sains Malaysia Transkrian ke pekan Nibong Tebal.

  5. Skop projek melibatkan kerja menaik taraf dan membina jalan sepanjang 1.2 kilometer, membina persimpangan baharu dan menaik taraf persimpangan sedia ada serta membina sistem saliran.

  6. Turut termasuk didalam skop projek ialah pemasangan lampu isyarat, lampu jalan di persimpangan serta pemasangan perabot jalan, pengalihan utiliti seperti paip Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA), Gas Malaysia, kabel Telekom Malaysia (TM) , Maxis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

  7. Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pasukan pembinaan dapat mengekalkan momentum penyiapan projek ini dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa. Fokus berterusan terhadap jalan raya ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam membina rangkaian jalan raya selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat Malaysia Madani secara konsisten.


Berdasarkan kandungan yang asalnya diterbitkan oleh CIDB Malaysia. Untuk maklumat lebih terperinci, sila layari laman webKementerian Kerja Raya Malaysia.

Daftar & langgan untuk melihat senarai tender terkini